“SELAGI masih diberikan Allah tenaga dan selagi saya diperlukan, saya akan teruskan sebab seni ini dia tidak ada kata noktah.”

“Saya tengok arwah abah, umur 70, 80 lebih pun dalam bilik air masih menyanyi. Jadi, benar, seni ini tiada noktah kerana seni itu satu kecintaan.”

Demikian kata Ratu Balada Malaysia, Datuk Ziana Zain, ketika bercerita mengenai semangatnya yang tidak pernah pudar untuk terus aktif berkarya walaupun menganggap dirinya sudah berusia.

Pada hematnya, mungkin faktor usia sedikit sebanyak mencantas kudrat seseorang penyanyi untuk memperlahakan kerjaya seni, tetapi bagi penyanyi bervokal mega ini, beliau mengakui belum masanya untuk berehat.