Kuala Lumpur: Keputusan mengenakan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dibuat selepas pihak berkenaan bersetuju menukar status tanah kepada tanah institusi sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bangunan berkenaan berusia 103 tahun dan diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007.

Beliau berkata, bangunan warisan berkenaan mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000 disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan yang semakin meningkat untuk menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.