KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dalam sentimen pasaran yang suram berikutan kebimbangan mengenai Nvidia Corporation dan langkah berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) esok yang menyebabkan pedagang tidak memasuki pasaran.
Ketidaktentuan yang berpunca daripada perkembangan berkaitan peraturan Amerika Syarikat (AS) mengenai eksport cip turut menjejaskan sentimen susulan penurunan sebanyak 2.49 peratus dalam indeks Nasdaq Composite yang rendah 626.52 mata kepada 24,509.76, menandakan hari ketiga berturut-turut indeks itu menyusut.
Di dalam negara, pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman KDNK esok.
Bagaimanapun, jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh berbanding anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membantu mengehadkan penurunan FBM KLCI.









