SINGAPURA: Singapura sedang berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan syarikat tempatan terus mendapat akses kepada cip kecerdasan buatan (AI) canggih susulan sekatan baharu yang dikenakan Washington terhadap teknologi itu.

Sekatan berkenaan bertujuan menghalang syarikat China mendapatkan cip AI buatan AS melalui pusat data di negara lain.

Kementerian yang mengurus pembangunan digital serta tenaga, perdagangan dan industri Singapura berkata, pihaknya sedang meneliti butiran sekatan baharu itu dan berbincang dengan syarikat yang terjejas untuk mengetahui kesannya terhadap perniagaan mereka.

"Kami juga sedang berbincang dengan pihak berkuasa AS mengenai skop dan pelaksanaan sekatan itu, selain mencari jalan bagi memastikan syarikat Singapura yang mematuhi peraturan terus mendapat akses kepada teknologi berkenaan," menurut kenyataan bersama kementerian itu, hari ini.