KUANTAN: Polis menunggu laporan prestasi guru daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan serangan seksual terhadap seorang murid lelaki berusia tujuh tahun pada bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, susulan penerimaan laporan itu nanti, pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya pada minggu hadapan bagi tindakan lanjut.

Katanya, polis sedang menunggu laporan yang dikatakan akan diserah dalam tempoh seminggu berhubung siasatan terhadap guru sekolah rendah berusia 24 tahun itu.

“Kita menjangkakan ia dapat diserahkan minggu depan. Guru terbabit juga sudah dipindahkan ke PPD sementara menunggu hasil siasatan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri di sini, hari ini.