Kuantan: Polis menunggu laporan prestasi seorang guru sekolah rendah bagi melengkapkan siasatan kes dakwaan serangan seksual terhadap murid lelaki berusia tujuh tahun di Jerantut.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dijangka menyerahkan laporan prestasi guru berusia 24 tahun itu dalam tempoh seminggu.
"Selepas menerima laporan prestasi berkenaan, kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Kita menjangkakan ia dapat dikemukakan minggu depan.
"Guru terbabit sudah dipindahkan sementara ke PPD sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri, di sini, hari ini.









