PETALING JAYA: Proton melepasi pencapaian eksport sebanyak 10,000 unit bagi tahun ini, sekali gus meletakkan syarikat automotif nasional itu pada landasan untuk meningkatkan jualan eksport lebih dua kali ganda berbanding 2025.

Pencapaian itu turut disusuli rekod pengeluaran bulanan tertinggi dalam tempoh 24 tahun apabila kilang Proton di Tanjong Malim merekodkan pengeluaran sebanyak 23,006 unit pada Oktober lalu.

Kedua-dua pencapaian itu mencerminkan peningkatan keupayaan pembuatan, kecekapan operasi serta komitmen syarikat dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pelancaran beberapa model baharu menjadi antara pemacu peningkatan permintaan di pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan eksport serta pengeluaran syarikat.