DALAM kegelapan, seekor gajah yang sepatutnya mudah dikenali kerana saiznya boleh disangka sebagai sesuatu sama sekali berbeza seperti kisah empat lelaki dalam Mathnawi karya tokoh sufi agung, Maulana Jalaluddin Rumi.
Lelaki pertama menyentuh belalai, lalu menyangka gajah seperti saluran air, manakala rakannya terpegang telinga, yakin mengibaratkan kipas gergasi. Individu ketiga merangkul kaki gajah, justeru membayangkan tiang, sedang yang terakhir menepuk-nepuk punggung haiwan itu dan merasakannya umpama panggung besar.
Hanya sahaja selepas itu, seorang lelaki tua budiman masuk ke khemah membawa pelita menerangi ruang gelap itu, barulah mereka terkejut melihat apakah sebenarnya seekor gajah.
Alegori lebih tujuh abad lalu mengisyaratkan keterbatasan pengetahuan diperoleh melalui pancaindera dan makna ilmu sebenar itu, tidak terasa jauh untuk memahami cabaran pendidikan tinggi masa kini, termasuk ketika kecerdasan buatan (AI) menawarkan kemajuan luar biasa, tetapi pada masa sama mengundang ancaman eksistensial serta masa depan.









