SELEPAS sekian lama mengharungi pelbagai liku kehidupan termasuk kegagalan rumah tangga terdahulu, usahawan sensasi, Datuk Seri Vida akhirnya mahu memberi ruang kepada diri sendiri untuk menikmati kebahagiaan dan merasai pengalaman bercinta yang selama ini hanya berdiam didasar hatinya.

Biarpun sudah menerima lamaran daripada kekasih hatinya, Datuk Fazley Yaakob, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, enggan terburu-buru melangkah ke fasa perkahwinan sebaliknya memilih untuk menikmati setiap fasa dalam hubungan yang sedang dibina.

Baginya, kebahagiaan bukan sekadar tentang memiliki pasangan hidup tetapi turut merasai layanan dan penghargaan daripada insan yang menyayangi dirinya, sesuatu yang diakui tidak pernah benar-benar dinikmati sebelum ini.