SHENZHEN (China): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan penting di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 pada hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC, di sini.

Ucapan beliau akan menekankan kepada perdagangan yang lebih terbuka dan kesalinghubungan meluas bagi menangani cabaran global yang berpunca daripada tarif membebankan serta harga minyak mentah yang tinggi.

Anwar, yang tiba di Shenzhen tengah malam tadi selepas menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan di Manila, Filipina akan memulakan urusan rasmi beliau hari ini dengan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC yang diadakan di Qianhai International Conference Centre (QICC).