ADEN: Lapangan terbang antarabangsa Aden menjadi sasaran serangan dua peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi di Yemen awal hari ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pejabat media Jabatan Keselamatan Aden berkata, kedua-dua peluru berpandu itu menyasarkan lapangan terbang di bandar pelabuhan selatan berkenaan.

Serangan berlaku ketika pertempuran antara Houthi dan kerajaan Yemen kembali memuncak selepas kumpulan itu mara di sepanjang pantai Laut Merah sejak beberapa minggu lalu.

Kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi kemudian melancarkan serangan balas dan berjaya menawan semula beberapa kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab yang strategik, dengan sokongan serangan udara pakatan.