Isu kematian sunyi, atau meninggal seorang diri di rumah dan hanya disedari selepas beberapa hari dilihat kian meningkat di negara ini. Artikel pertama daripada laporan dua bahagian ini mengupas permasalahan tersebut dalam konteks negeri Perak yang mempunyai jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi.
KUALA KANGSAR: Walaupun menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk diabetes dan darah tinggi, Jahara Hashim tetap bersemangat ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), yang terletak kira-kira 30 minit dengan berbasikal dari rumahnya di Kampung Changkat Manong di sini.
Masakan tidak, di PAWE, warga emas berusia 75 tahun ini dapat menyertai pelbagai aktiviti bersama-sama dengan rakan sebaya berbanding melayan kesunyian di rumah, yang didudukinya seorang diri sejak suaminya meninggal dunia 22 tahun lalu dan kedua-dua anak mereka sudah berumah tangga.








