MARAN: Seekor harimau kumbang dewasa berjaya diselamatkan selepas ditemukan dalam keadaan sukar berjalan di sebuah ladang kelapa sawit di Sri Jaya, di sini, kelmarin.

Harimau kumbang betina berusia empat tahun itu diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (PERHILITAN) sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak, untuk pemantauan lanjut.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pihak pengurusan ladang sekitar tengah hari berhubung penemuan haiwan itu yang dipercayai tidak mampu berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, enam anggota PERHILITAN bersama seorang pegawai veterinar dikerahkan ke ladang berkenaan bagi memeriksa keadaan haiwan itu.