Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang terbabit dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Pengarah MSN Perlis, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas tindakan pantas dan keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menyediakan perlindungan dan bantuan menyeluruh kepada atlet berkenaan.
Antara bantuan disediakan menerusi kerjasama KBS, MSN, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Skim Lindung 24 Jam PERKESO termasuk pengekalan elaun latihan, pembiayaan penuh kos rawatan, manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup.









