BANTING: Satu ketika dulu, cempuling menjadi antara hiburan mesti ada dalam majlis kenduri-kendara masyarakat Jawa.

Bagaimanapun, selari dengan peredaran masa cempuling semakin terasing dan tidak mustahil semakin dilupakan.

Kemungkinan itu menjentik rasa seorang pesara, Engsar Kaimun, 66 yang sejak puluhan tahun lalu gigih mendedahkan generasi muda di Kampung Sungai Lang dengan cempuling.

Engsar berkata, dia membesar dengan melihat cempuling menjadi pilihan dalam pelbagai jenis kegiatan masyarakat terutama majlis perkahwinan.

Bagaimanapun katanya, apabila majlis perkahwinan semakin banyak diadakan di dewan, permintaan terhadap persembahan cempuling semakin berkurangan.