MALAYSIA menjadi negara menua sejak 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas mencapai tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk. Berdasarkan unjuran terkini kerajaan, kita dijangka memasuki kategori negara tua sekitar 2048 apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah kira-kira 14 peratus daripada populasi.

Ini bermakna tempoh persediaan yang ada semakin mengecil dan keputusan dasar dibuat hari ini akan menentukan bagaimana jutaan rakyat Malaysia menjalani usia tua dua dekad akan datang.

Persoalan utama bukan lagi sekadar sama ada rakyat mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, tetapi siapa yang akan menjaga mereka apabila tidak lagi mampu hidup berdikari, siapa menanggung kos penjagaan dan adakah perkhidmatan berkualiti tersedia pada harga mampu bayar.