BERA: Polis menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai seorang anggotanya cedera ditikam Orang Asli ketika operasi pemantauan keselamatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera di sini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata penyebaran maklumat palsu yang dikesan tular sejak semalam adalah tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan kegusaran awam.

Kandungan tular mendakwa seorang anggota polis ditikam ketika menjalankan tugas rondaan serta pemantauan keselamatan di sekitar kawasan terbabit.

"Polis menafikan dakwaan berkenaan dan ia adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja berpotensi mendatangkan kegusaran kepada orang ramai, malah boleh mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar serta menjadi tidak terkawal," katanya dalam kenyataan, hari ini.