KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau deepfake melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September tahun ini.
Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan penurunan berkenaan dibuat hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
"Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.









