sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun bergelut mencari semula sentuhan terbaik, Lee Zii Jia akhirnya menemui sinar kebangkitan apabila mara ke pusingan 16 Terbuka Artik dengan kemenangan meyakinkan ke atas pemain China, Dong Tian Yao, di Vantaa, Finland, semalam.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara yang menghuni ranking ke-56 dunia itu menundukkan pemain nombor 40 dunia berkenaan 21-18, 21-14 dalam tempoh 42 minit di Vantaa Energia Areena.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Zii Jia yang mengakui perjalanan dua tahun kebelakangan ini penuh cabaran ketika dia berusaha mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

"Saya sudah banyak bergelut sejak dua tahun lalu dan cuba untuk kembali ke tahap terbaik. Saya gembira kerana dapat memenangi pusingan pertama hari ini," katanya.