Strasbourg, Perancis: Sebuah patung emas yang menggambarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam keadaan bogel dan berbadan gempal dipamerkan di Parlimen Eropah di sini sebagai kritikan satira terhadap beliau serta dasar iklimnya.
Memetik Metro UK, patung setinggi lebih 2.44 meter (m) itu menunjukkan Trump sedang didukung oleh seorang lelaki lain di atas bahunya.
Diberi tajuk 'Orange Plague' atau 'The King of Injustice', karya pengukir Denmark, Jens Galschiot itu disaluti emas daun 23 karat serta menggambarkan Trump memegang kayu golf gergasi, dunia berbentuk bola dan neraca sebagai simbol keadilan.
Lelaki yang mendukung patung berkenaan pula digambarkan tertekan dan keletihan.
Sekeping kad di sebelah patung itu menuduh Trump menghalang usaha menangani krisis iklim, selain tertera ayat, "Saya akan melakukan apa sahaja untuk membantunya, kecuali turun dari belakangnya".








