JOHOR BAHRU: Polis percaya perasaan dendam, termasuk berkaitan penolakan cinta antara motif pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata motif berkenaan bagaimanapun masih diperhalusi menerusi siasatan yang sedang dijalankan.

"Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalin hubungan dengan kawan baik sendiri.

"Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan adalah rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.