Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian dengan memetik kata pujangga agung Tamil dan pendeta agung China ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pendidikan untuk semua, Perdana Menteri mengungkap rangkap ke-731 dalam karya terkenal Thiruvalluvar, Tirukkural iaitu "Thallaa Vilaiyulum Thakkaarum Thaazhvilaach Chelvarum Servadhu Naadu."
Rangkap berkenaan yang dibacakan beliau dalam bahasa Tamil membawa maksud, negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi keilmuan dan budi rakyatnya serta makmur kekayaannya tanpa mengesampingkan akhlak.
"Ternyata, sejak zaman silam, Thiruvalluvar mengingatkan bahawa hebatnya sesebuah negara itu tidak sekadar bersandar pada limpahan khazanah dan mercu tanda tetapi turut ditunjangi kebijaksanaan, keadilan dan kemuliaan insan," katanya.









