ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 11-3 selepas membelasah Penang FC 4-1 dalam aksi kedua timbal balik suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, petang tadi.
Menerusi kemenangan itu, skuad kendalian Xisco Munoz akan berdepan sama ada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) atau DPMM FC yang akan membuat perhitungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.
Berbekal kemenangan 7-2 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 20 September lalu, anak didik Munoz mendominasi permainan dengan langsung tidak memberi ruang buat skuad kendalian Wan Rohaimi Ismail bergerak selepas kerap diasak barisan serangan Harimau Selatan.










