KYIV: Presiden Ukraine, Volody­myr Zelensky menuduh Amerika Syarikat (AS) tidak komited membantu negaranya mempertahankan diri selepas serangan bom Russia ke atas dua bas penumpang mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang kelmarin.

Serangan menyasarkan bas awam di bandar Kramatorsk berlaku ketika gelombang sera­ngan Russia di seluruh Ukraine mengorbankan 78 orang dan mencederakan 215 yang lain dalam tempoh dua hari, menurut Zelensky.

Ketika bercakap kepada pemberita di Pryluky, pemimpin Ukraine itu mengkritik Washington kerana meneruskan hubungan ekonomi dengan Moscow sambil berusaha menjadi orang tengah untuk menamatkan perang yang kini memasuki tahun kelima.

Beliau turut menggesa AS memperluas akses Ukraine kepada perkhidmatan satelit Starlink bagi membantu tenteranya menyasarkan pelancar peluru berpandu balistik Russia.