KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun meletakkan sasaran untuk kembali menembusi kelompok 10 terbaik dunia bersama Man Wei Chong selepas ranking mereka merosot berikutan terlepas beberapa kejohanan sebelum ini.

Kai Wun berkata, dia dan Wei Chong akan berusaha memperbaiki kedudukan ranking menjelang penghujung musim ini, meskipun hanya berbaki empat atau lima kejohanan untuk disertai.

“Kami berharap dapat kembali masuk kelompok 10 terbaik dunia. Ranking kami jatuh kerana terlepas banyak kejohanan sebelum ini.

“Dengan baki empat atau lima kejohanan sahaja menjelang penghujung tahun, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan melihat sejauh mana kami boleh pergi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.