“Selama ini saya menjaga semua orang, tetapi apa yang saya mahukan untuk kehidupan saya sendiri?”
Persoalan itu mungkin bermain dalam fikiran sesetengah anak sulung perempuan yang terlalu lama mendahulukan keperluan keluarga sehingga kehidupan sendiri diketepikan.
Bagi mereka, soal perkahwinan bukan semata-mata mengenai jodoh, sebaliknya turut melibatkan kebimbangan tentang tanggungjawab terhadap ibu bapa dan adik-beradik yang selama ini dipikul.
Ada yang mahu terus membantu kewangan keluarga, menjaga ibu bapa atau memastikan adik-beradik dapat meneruskan kehidupan sebelum memberi perhatian kepada masa depan sendiri.









