PETALING JAYA: Pemain sayap Kelantan City FC, Wan Zaharulnizam Zakaria mengakui pasukannya perlu bertahan lebih kukuh selain bersedia sekiranya perlawanan berakhir ke penentuan sepakan penalti dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC, malam ini.

Selepas berjaya mengekang asakan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada aksi pertama suku akhir tempoh hari menyaksikan perlawanan berakhir tanpa jaringan, Zaharulnizam percaya peluang masih terbuka untuk dia dan rakan sepasukan memberikan sesuatu bagi meraih slot ke separuh akhir di Stadium Taha Ariffin nanti.

Sedar dengan kualiti yang ada pada pasukan The Cats, bekas pemain Kelantan FA itu menyifatkan corak perlawanan yang lebih terbuka berkemungkinan besar mampu menghukum mereka dan perlu lebih bijak mencari ruang melakukan serangan balas.