Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lalu cedera ditembak selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian dari Petaling Jaya hingga ke Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata, suspek berusia 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira secara berbahaya serta merempuh beberapa kenderaan lain itu berjaya ditahan di lokasi kejadian.
"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.42 petang semalam. Suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta merempuh kenderaan lain sebelum ditahan di tempat kejadian.
"Suspek cedera akibat ditembak polis dalam kejadian itu dan kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.








