Istanbul: Arab Saudi mengesahkan tiga rakyatnya terbunuh dalam dua serangan pada Khamis ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dan sebuah pesawat Saudia Airlines, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam dalam kenyataan di X, serangan pertama menyasarkan kemudahan lapangan terbang manakala serangan kedua mengena pesawat milik syarikat penerbangan negara itu.
Pasukan tindak balas kecemasan pantas bertindak balas terhadap serangan yang turut mencederakan "sebilangan rakyat dan penduduk pelbagai negara," kata pihak berkuasa.
Mangsa yang sebahagiannya parah segera dibawa ke hospital untuk rawatan, menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa serangan juga menyebabkan beberapa kerosakan material.








