KUALA LUMPUR: Peningkatan pelepasan cukai individu dan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi golongan berpendapatan sederhana M40 dalam Belanjawan 2027 boleh memberi pendapatan tambahan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai, kata KPMG Malaysia.

Ketua Cukainya, Soh Lian Seng, menyifatkan langkah itu sebagai bermakna bagi golongan M40 yang kadangkala tidak layak menerima bantuan bersasar, namun tetap menanggung tekanan perbelanjaan isi rumah dan peningkatan kos sara hidup.

"Bagi golongan M40, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 amat dialu-alukan.

"Ia merupakan langkah praktikal untuk menyalurkan semula wang ke dalam poket mereka," katanya kepada Bernama bagi mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen pada Jumaat.