KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 berisiko mewujudkan pasaran tenaga kerja dua tingkat antara syarikat besar dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), susulan perbezaan kemampuan majikan menanggung kos gaji yang lebih tinggi.

Ahli Majlis Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), Harvinder Singh, berkata pengecualian PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu boleh mewujudkan jurang pendapatan antara pekerja mengikut saiz organisasi.

Katanya, pekerja di organisasi besar berpotensi menikmati gaji lebih tinggi berbanding pekerja di PMKS kecil yang dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu.