KUALA TERENGGANU: Tiga gelombang hujan diramal berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan depan hingga Mac tahun depan di negeri-negeri Pantai Timur semenanjung.

Fasa peralihan monsun dijangka berakhir hujung bulan ini sebelum musim tengkujuh bermula bulan depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, persediaan awal dilakukan menerusi pengaktifan operasi MTL di semua balai bomba Terengganu bagi memastikan aset, peralatan dan logistik berada pada tahap optimum menghadapi gelombang-gelombang hujan berkenaan.

Katanya, JBPM Terengganu mempunyai kekuatan 1,036 anggota serta 79 aset kende­raan darat dan marin bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir dan bencana sepanjang musim tengkujuh.