Istanbul: Kebakaran tercetus di Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad selepas terkena projektil yang tidak dikenal pasti, lapor Anadolu Ajansi memetik pakatan diketuai Arab Saudi.

Dalam kenyataan, pakatan itu memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang menangani kebakaran berkenaan, tanpa memberikan butiran mengenai tahap kerosakan atau sama ada terdapat sebarang korban.

Dalam kenyataan susulan, pakatan itu mengumumkan bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan sebuah misil krus berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Bagaimanapun, pakatan itu tidak menjelaskan sama ada misil yang dipintas mempunyai kaitan dengan projektil yang mengenai terminal berkenaan atau mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.