KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menangani jurang akses kepada doktor, pakar dan kemudahan diagnostik antara hospital di bandar dengan hospital serta klinik kesihatan di luar bandar, ialah antara perkara menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta Menteri Kesihatan menjelaskan langkah kerajaan untuk mengatasi ketidakseimbangan berkenaan pada sesi soal jawab.
Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai risiko kebergantungan eksport negara pada sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport, serta strategi mempelbagaikan eksport sekiranya kitaran semikonduktor global merosot.








