GUA MUSANG: Hasrat dua beradik pulang menziarahi kematian ibu saudara berakhir tragedi apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Maslina Md Shafie, 33, dan bayinya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadhli, dua bulan maut di lokasi kejadian, manakala abangnya, Muhammad Azizi Md Shafie, 36, cedera dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Abang iparnya, Nasrul Pauzy, 44, berkata mereka bergerak dari Cheras, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi semalam, secara berkonvoi kenderaan untuk pulang ke Bukit Abal, Pasir Putih bagi menziarahi kematian ibu saudara.
Beliau berkata, Maslina dan Azizi menaiki Perodua Myvi, manakala suaminya, tidak ikut pulang ke Pasir Putih kerana ada urusan kerja.









