Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, walaupun bimbang keselamatan anaknya di asrama sekolah agama, dia tetap menaruh kepercayaan kepada pihak pengurusan.

Noraidah Lamat yang memberikan keterangannya berkata, ini adalah kerana beliau pernah belajar di sekolah itu.

"Saya bimbang situasi Zara, namun di sudut hati, saya masih mempercayai pihak pengurusan sekolah agama itu kerana saya juga bekas pelajar di sana," katanya.

Noraidah berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip, mengenai apa terlintas di fikirannya apabila Zara berkongsi pengalaman tidak menyenangkan di asrama.