Sungai Petani: Seorang lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan seorang pelajar di Jalan Darul Aman Lagenda dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki yang bekerja sebagai jurujual karpet dan langsir itu memandu sebuah Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun kira-kira jam 6 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa, Muhammad Afiq Izzat Mohd Rosidi, menunggang motosikal dari arah Jalan Mawar menghala ke Jalan Darul Aman Lagenda.

"Setibanya di lokasi kejadian, ketika mangsa bergerak lurus di lorong tengah, pemandu berkenaan yang datang dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba sehingga memasuki laluan motosikal mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.