MALAYSIA mempunyai rangkaian lebuh raya bertol yang panjang dan bertaraf antarabangsa. Keadaan ini turut mendapat pujian warga asing dan pelancong yang menggunakan kemudahan lebuh raya serta pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) manakala Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal melengkapkan lagi rangkaian tersebut.

Namun, kesesakan luar biasa di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada 1 September lalu, wajar dijadikan pengajaran.

Kesesakan sepanjang kira-kira 35 kilometer (km) dari Plaza Tol Bentong hingga Plaza Tol Gombak menyebabkan sesetengah pengguna mengambil masa sehingga 10 jam. Kejadian berpunca daripada kemalangan selepas Terowong Genting Sempah menghala ke Kuala Lumpur.