BANGI: Empat sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membunuh dan subahat membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih, bulan lalu.

Asrul Siwi, 32; Amirul Maamur Rosli, 27; Amri Rizani Darus, 36, dan Rijal Haryono, 47, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Asrul dan Amirul bersama tiga lagi individu masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28 Sungai Lalang, Mukim Ulu Semenyih di Hulu Langat, antara jam 4 pagi 24 September hingga 2 petang 25 September.