KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM3,100 sebulan berisiko menjejaskan pengambilan pekerja baharu dan pertumbuhan perniagaan kecil, meskipun usaha meningkatkan pendapatan pekerja kekal sebagai matlamat bersama

Penasihat Kanan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata keputusan berkaitan gaji peringkat nasional perlu dibuat secara teliti berdasarkan justifikasi ekonomi.

"Persoalan utama ialah sama ada kadar gaji yang dicadangkan itu mempunyai justifikasi ekonomi, berasaskan bukti dan mampan untuk dilaksanakan dalam landskap perniagaan Malaysia yang pelbagai.

"MEF menghormati peranan kesatuan sekerja dalam memperjuang kebajikan pekerja. Bagaimanapun, tuntutan kenaikan gaji perlu mengambil kira realiti operasi perniagaan, khususnya kekangan yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya kepada New Straits Times.