Minat mendalam terhadap seni khat sejak di bangku sekolah membuahkan hasil buat dua pelajar apabila masing-masing dinobatkan sebagai johan kategori Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Kedua Peringkat Kebangsaan.

Bagi kategori SK, Muhammad Al Amin Muhammad Adli, 12, daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar, di sini, muncul johan selepas menghasilkan tulisan khat Nasakh berdasarkan surah An-Nas dalam tempoh kira-kira dua jam setengah.

Murid daripada Kampung Bukit Besar itu berkata, penyertaan pada festival berkenaan merupakan kali keempat dia menyertai pertandingan khat, malah pernah meraih johan peringkat daerah sebanyak tiga kali.