Kuala Lumpur: Peluang pekerjaan menjadi 'GPS' utama warga asing dalam menentukan lokasi untuk tinggal di Malaysia, dengan kawasan yang menawarkan pekerjaan, sewa berpatutan dan kemudahan pengangkutan menjadi antara tumpuan mereka.

Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Malaysia Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mashitah Hamidi berkata, peluang pekerjaan adalah penentu paling dominan dalam pemilihan lokasi penempatan warga asing.

Menurutnya, migrasi buruh ke Malaysia digerakkan permintaan majikan melalui sistem kuota dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), menyebabkan peta penempatan pekerja asing hampir selari dengan peta pelaburan dan projek.

"Antara kawasan tumpuan warga asing di Malaysia ketika ini ialah di Lembah Klang, khususnya Jalan Silang, Kota Raya, Chow Kit, Masjid India dan Pudu di Kuala Lumpur. Selayang dan Batu Caves pula banyak dihuni komuniti Myanmar dan Rohingya, manakala Klang, Shah Alam, Rawang dan Semenyih menjadi tumpuan berhampiran kawasan perindustrian.