BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar penduduk Palestin yang dipindahkan dari kem pelarian tidak akan dibenarkan kembali ke kediaman lama mereka.
Tindakan itu masih dilaksanakan walaupun selepas Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan mengemukakan jadual masa bagi membolehkan mereka pulang.
Dalam kenyataan video yang dirakam berhampiran kem pelarian Tulkarm di Tebing Barat yang diduduki, Netanyahu menyifatkan kem itu sebagai 'kubu kuat pengganas' dan memuji tentera Israel kerana menghapuskannya mengikut arahan yang diberikan.
"Saya mendapat tahu ada pihak di Mahkamah Keadilan Tinggi yang mengatakan penduduk perlu dibawa pulang ke sini. Mereka ini bukan penduduk, sebaliknya pengganas," kata beliau.








