Mexico City: Setiausaha Pertahanan Mexico Ricardo Trevilla Trejo menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan teknologi dron oleh kartel dadah yang disifatkan sebagai isu membimbangkan di peringkat nasional, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan beliau pada Selasa itu menyusuli laporan bahawa anggota kartel dadah Mexico terlibat sebagai tentera upahan di Ukraine bagi mempelajari taktik peperangan menggunakan dron.
"Ya, perkara ini membimbangkan kami di seluruh negara. Oleh itu, sejak tahun lepas, kami telah membeli banyak sistem anti dron jenis tetap dan mudah alih. Sistem itu juga ditempatkan di sepanjang sempadan dan kami menjalankan operasi dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS)," katanya.










