DALAM suasana sebahagian negara ASEAN termasuk Malaysia dilanda jerebu akibat kebakaran dan pembakaran terbuka, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menganjurkan International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 bersama Kuala Lumpur Sustainability Summit (KLSS) 2026 di Kuala Lumpur. Penganjurannya berlangsung ketika kepentingan menjaga kelestarian alam semakin terasa dalam kehidupan masyarakat.Berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan tema "Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries", IGEM edisi ke-17 dan KLSS 2026 membawa peringatan kepada pemegang taruh dalam kerajaan, industri mahupun masyarakat bahawa kelemahan mengurus pembangunan dan pencemaran akan membawa kesan buruk yang dikongsi bersama. Udara tercemar tidak mengenal sempadan, malah menjejaskan kesihatan, kegiatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat rentas negara.Sebagaimana pencemaran rentas sempadan, cabaran perubahan iklim memerlukan kerjasama melangkaui bidang kuasa pentadbiran dan geografi. Keupayaan menghadapi cuaca ekstrem serta membina daya tahan masyarakat bergantung pada kesediaan kerajaan, sektor swasta, penyelidik dan komuniti untuk bertindak secara tersusun.Dalam ucapan mengalu-alukan delegasi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menekankan bahawa cita-cita pelepasan sifar bersih mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan harian. Teknologi perlu digunakan, pelaburan mesti digerakkan dan kerjasama harus menghasilkan kemajuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.Penegasan itu merupakan hala tuju IGEM dan KLSS. Di bawah kepimpinan Arthur, NRES mengetengahkan hubungan antara tanggungjawab alam sekitar dengan pembangunan ekonomi, sambil menyediakan ruang kepada industri untuk mengenal pasti teknologi, pembiayaan dan rakan kerjasama yang diperlukan.Tempahan ruang pameran mencapai 100 peratus, dengan hampir 200 pempamer mengambil bahagian. Daripada jumlah tersebut, 70 peratus merupakan pempamer tempatan, manakala selebihnya firma antarabangsa.Gabungan penyertaan tempatan dan antarabangsa membuka ruang pertukaran kepakaran, penerokaan pasaran serta hubungan komersial. Bagi syarikat Malaysia, pertemuan seperti ini menyediakan peluang memperkenalkan keupayaan sendiri kepada bakal pelanggan dan rakan niaga. Sambutan penuh terhadap ruang pameran turut memperlihatkan keyakinan industri terhadap peranan IGEM sebagai medan pertemuan perniagaan hijau.Sambutan terhadap IGEM 2026 adalah luar jangka dan menunjukkan kesedaran terhadap ekonomi hijau serta kelestarian alam kian berkembang.Menerusi kerjasama erat NRES dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), IGEM kali ini telah menghasilkan RM22.5 bilion potensi perniagaan.Perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Amar Fadillah Yusof, pada 8 Oktober turut memperkukuh mesej bahawa peralihan hijau ialah agenda pembangunan negara