ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan insiden elektrik yang mencederakan tiga peserta perarakan keagamaan di Mergong di sini, malam Selasa.TNB dalam kenyataan pada Rabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca daripada tiang bendera yang dibawa peserta perarakan menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga mencetuskan percikan arka elektrik.Sehubungan itu, TNB menzahirkan rasa simpati terhadap insiden membabitkan tiga orang awam berkenaan serta mendoakan supaya semua mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera."Pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan."Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan objek tinggi termasuk tiang bendera berada pada jarak selamat daripada talian elektrik," katanya pada Rabu.Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan mangsa terjatuh di atas jalan selepas kejadian sebelum dibantu peserta perarakan lain.Media melaporkan, kejadian melibatkan dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang lagi yang berusia 16 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.Sementara itu, Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan berkata, perarakan berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan pada hari keempat bermula jam 8 malam hingga 11 malam.Menurutnya, ketika kejadian beliau tidak berada di lokasi dan hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh peserta perarakan terbabit."Ketiga-tiga mangsa mungkin masih bersekolah dan sedang menerima rawatan serta dalam pemantauan doktor."Setakat ini saya tak tahu keadaan mereka kerana masih dalam zon merah," katanya semasa ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah di sini.