KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis di sebuah premis kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, remaja berusia 18 tahun dipercayai bersama dua lagi lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Lorong Langsat, Jalan Inanam, sebelum kehadiran mereka dilaporkan orang awam kepada pihak polis.
Susulan maklumat berkenaan, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Balai Polis Inanam telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 4.10 pagi, anggota polis mengesan tiga lelaki berada di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan.









