BATAM – Penduduk di beberapa wilayah di sini gempar apabila bekalan air bersih domestik yang disalurkan ke rumah mereka didapati tercemar dengan kehadiran cacing halus berwarna merah dan jentik nyamuk sejak kelmarin.

Isu kualiti air itu menjadi tular di media sosial selepas beberapa penduduk memuat naik klip video memaparkan air paip yang bertukar menjadi hitam pekat, selain dipenuhi ulat dan cacing halus selepas ditapis.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk termasuklah daerah Batu Ampar, Nagoya, Tiban, Bengkong, Batu Besar, dan Sagulung.

Seorang penduduk di Sagulung mendakwa, dia menyedari kehadiran cacing halus tersebut ketika mahu menampung air dari keran rumahnya.