PETALING JAYA: Sebanyak 34 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan dua stesen di Selangor iaitu Johan Setia dan Klang merekodkan bacaan menghampiri 200, pagi ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan IPU (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat pukul 9 pagi ini, Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi iaitu pada 192 manakala Klang pada 191.
Sekiranya, bacaan IPU di kedua-dua kawasan itu terus mencatatkan peningkatan hingga melebihi 200, semua sekolah berdekatan perlu ditutup berdasarkan garis panduan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Lain-lain kawasan yang terjejas adalah Nilai dengan kadar IPU 187, Larkin (187), Bukit Rambai (184), Seremban (182), Batu Pahat (182), Pasir Gudang (181), Shah Alam (179), Bandaraya Melaka (178), Tangkak (177), Port Dickson (176), Alor Gajah (176), Putrajaya (175), Cheras (172), Banting (170) dan Pengerang (170).









