Shahidan Kassim gesa perwakilan sama rata antara kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan Parlimen, sambil mendakwa sesetengah jawatankuasa hanya mempunyai tiga wakil pembangkang daripada 10 ahli. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Shahidan Kassim (PN-Arau) menggesa peruntukan kawasan diletakkan di bawah kawalan Parlimen dan bukan lagi perdana menteri bagi memastikan semua Ahli Parlimen mendapat layanan adil.

Beliau berkata, autonomi Parlimen yang dipulihkan itu sepatutnya turut meliputi pengurusan peruntukan kawasan, sedangkan Ahli Parlimen pembangkang masih tidak menerima peruntukan yang sama seperti wakil kerajaan.

“Kami mahu peruntukan yang kini diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan diserahkan kepada Parlimen untuk diuruskan,” katanya selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberikan penerangan kepada Dewan Rakyat mengenai Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.